About Me

Sunday, July 22, 2012

apa bahagia

saat tawa gembira
dalam ruas yang sama
sekepala
itu sementara

saat menghirup madu-madu dunia
yang beraneka rasa
khayal dalam nikmat
itu tipu daya

saat berkasih mesra
saling melafaz setia
indah bila berdua
itu ceritera
ada penghujungnya

bahagia itu
bila kau sempurna setia
dalam sembah sujudmu

bahagia itu
bila kau tiada
yang ada cuma dia

setiap langkah perbuatan
kerana dia
seluruh alam semesta
kau pandang dengan pandangannya

itu hakikat bahagia
yang lain cuma rasa

Saturday, July 21, 2012

dalam dingin malam

dingin malam selepas hujan
mencengkam hati yang merintih
merayu padamu ya rabb
deras air mata
seiring sesalan dosa silam

air hujan pada dedaun
berkilau disinari cahaya
namun jiwa ini
gelap tanpa cahayamu

pernah aku jatuh
mencuba bangkit semula
jatuh lagi
sehingga lelah jiwa ini
cukup sudah aku derita
aku tak mahu jatuh lagi

hulurkanlah sedikit
limpah kasihmu padaku
bukakanlah barang seinci
hijabku denganmu
yang menabir pandangan hati

dingin malam ini
aku hamburkan
seluruh pengharapan
agar kaki ini
tetap pada lorong
ke arah jalanmu



Friday, July 13, 2012

jasad tidak setanding mimpi

indah bintang kerdip cahaya
ingin benar disentuh rasa
apakan daya
tangan terikat di langit

tinggi gunung hendak ditawan
menjulang tinggi awan gemawan
apakan daya
kaki terpasak di bumi

bayang-bayangmu ingin ku dakap
menyulam cinta seagung maya
mencurah kasih ke hujung nyawa
apakan daya
asa tidak sekuat angan
jasad tidak setanding mimpi


Monday, June 18, 2012

hilang

ke mana awak pergi
sepanjang hari saya mencari
dalam deringan waktu pagi
dalam dingin air di kali
awak tiada

setiap langkah kaki
dalam merdu siul unggas
pada dahan dan ranting
sebalik dedaun
saya tak jumpa

ke mana awak pergi
pada awan memutih
dalam nyaman bayu
juga pada silau mentari
saya terus mencari

mungkin awak sudah lupa
betapa risau hati saya
mungkin juga awak sengaja
lontar rindu pada saya

tapi mungkin juga
saya takkan jumpa
kerana awak cuma khayalan
dalam hati, dalam ingatan
dalam mimpi, dalam igauan


Wednesday, June 13, 2012

lampu picit malap

lampu picit malap
dalam gelap samar-samar
tunjuk jalan kelam

mana satu jalan
kiri kanan sama gelap
lampu picit malap
pandu arah cepat
ada tunggul tengah jalan
banyak duri halang langkah

jalan kelam masih panjang
hari siang lambat datang
matahari masih segan

lampu picit malap
jangan padam
hujung jalan dia menunggu
sudah lama sejak hari itu

namun
andai sirna cahayamu
mungkin dia enggan bertemu

Sunday, June 10, 2012

semoga kau mengerti

tenang wajah ini
bukan cermin hati

senyum bibir ini
bukan riang diri

pecah tawa ini
lebur dalam tangisan
yang mengalir dalam hati

ku ucapkan tanpa suara
ku gambarkan tanpa garisan
ku nyanyikan tanpa irama

melangit harap
semoga kau mengerti

Monday, June 4, 2012

ulang

biarkan saja suara itu
membingit telinga menyesak dada
biarkan ia melaung-raungkan kekesalannya
biarkan ia dengan ratap tangisannya

selalu ia memegang erat hati
bersumpah janji bagai
demi tuhan, katanya
takkan pernah ia ulangi
sanggup dipunah keramat sumpah
rela dilontar jauh ke lembah

sampai sudah katanya hampa
di kakimu bertiarap ampun
dengan ratap raung seperti kelmarin
dengan manisan sumpah janji setia
bimbang disingkir hina
takut dipenjara sebelum masa

dan kita selalu percaya