About Me

Monday, June 18, 2012

hilang

ke mana awak pergi
sepanjang hari saya mencari
dalam deringan waktu pagi
dalam dingin air di kali
awak tiada

setiap langkah kaki
dalam merdu siul unggas
pada dahan dan ranting
sebalik dedaun
saya tak jumpa

ke mana awak pergi
pada awan memutih
dalam nyaman bayu
juga pada silau mentari
saya terus mencari

mungkin awak sudah lupa
betapa risau hati saya
mungkin juga awak sengaja
lontar rindu pada saya

tapi mungkin juga
saya takkan jumpa
kerana awak cuma khayalan
dalam hati, dalam ingatan
dalam mimpi, dalam igauan


Wednesday, June 13, 2012

lampu picit malap

lampu picit malap
dalam gelap samar-samar
tunjuk jalan kelam

mana satu jalan
kiri kanan sama gelap
lampu picit malap
pandu arah cepat
ada tunggul tengah jalan
banyak duri halang langkah

jalan kelam masih panjang
hari siang lambat datang
matahari masih segan

lampu picit malap
jangan padam
hujung jalan dia menunggu
sudah lama sejak hari itu

namun
andai sirna cahayamu
mungkin dia enggan bertemu

Sunday, June 10, 2012

semoga kau mengerti

tenang wajah ini
bukan cermin hati

senyum bibir ini
bukan riang diri

pecah tawa ini
lebur dalam tangisan
yang mengalir dalam hati

ku ucapkan tanpa suara
ku gambarkan tanpa garisan
ku nyanyikan tanpa irama

melangit harap
semoga kau mengerti

Monday, June 4, 2012

ulang

biarkan saja suara itu
membingit telinga menyesak dada
biarkan ia melaung-raungkan kekesalannya
biarkan ia dengan ratap tangisannya

selalu ia memegang erat hati
bersumpah janji bagai
demi tuhan, katanya
takkan pernah ia ulangi
sanggup dipunah keramat sumpah
rela dilontar jauh ke lembah

sampai sudah katanya hampa
di kakimu bertiarap ampun
dengan ratap raung seperti kelmarin
dengan manisan sumpah janji setia
bimbang disingkir hina
takut dipenjara sebelum masa

dan kita selalu percaya

malam bulan sabit

laut tenang tak bergelora
bintang indah kerdip cahaya
bayu gemalai tari mengalun
lembut membelai diiring santun

hatiku aman jauh merenung
jiwaku lapang seluas samudera
sukma berlagu kasih segunung
bibir tersenyum bunga menguntum

sebesar gunung syukurku sergam
tidak setanding nikmat di tabur
kerana batas pada yang paling
sedangkan dia tiada tersukat
walau sejauh mengenal makrifat

sujudku sembah tiada lain
engkau satu tiada banding
berhajat semua tiada terasing
tiada tara, tiada tanding!

Friday, June 1, 2012

entah

entah mengapa
bunga tak kembang
unggas tak riang
pelangi tak seri

entah mengapa
hujan tak dingin
cerah tak panas
angin tak sepoi

entah mengapa
manis tak rasa
masam tak kecur
lazat tak selera

entah mengapa
siangku engkau
malamku engkau
mimpiku engkau
jagaku engkau!

dapatkah engkau mengerti,
wahai aku!