About Me

Thursday, March 29, 2012

satu-empat-tiga

pada satu empat tiga
teringat aku saat itu
senyum tangis berbaur sendiri

pada satu empat tiga
banyak kisah dikisahkan
banyak rasa dirasakan

pada satu empat tiga
pada engkau ada aku
dalam diriku ada kamu

pada satu empat tiga
nanti itu indah
tapi itu indah
sepi itu indah
kerana ada kamu di setiap itu

satu dalam empat tiga
engkau tahu itu
selalu kamu perihalkan
kerap aku bayangkan

tiga dalam empat satu
sejak mula aku angankan
hingga kini masih di bayangan

kini
yang pasti semua lalu
yang nyata ada aku
yang samar pada kamu
dalam mimpi menjadi satu

yang dibawa-
antara satu dengan tiga

gurindam satu pagi

apa diturut katanya hati
bila nafsu jadi menteri

apa diturut jiwa yang marah
hasilnya sesal tak kunjung sudah

apa diikut guru yang jahil
ilmu yang dapat semua batil

apa diikut jalan yang salah
ke jurang dalam diri kan rebah

apa dilihat kayanya orang
harta sendiri tidak dibilang

apa dilihat kudis di jari
orang di sana tiada kaki

apa dikejar akan dunia
datang janji habis binasa

apa dikejar nikmat dunia
sedangkan syurga tiada akhirnya

apa dipandang barang dicipta
sedangkan pencipta di depan mata!

Tuesday, March 27, 2012

taubat sambal

sengsara kerana dosamu menggunung
menyesal kerana terbiasa dengan dosa itu
tapi,
masih juga kau lakukan!
dalam sesalmu, kau ingkar!

kemudian kau sedar
sedar dalam sedar sebenarnya?
lalu kau ulangi lagi
begitulah kau ulang-berulang

sekarang kau laungkan lagi
cemik wajahmu meluahkan
betapa kau tak mahu,
tapi lemah- jadi alasanmu

kau hanya tahu mengaku
tapi buat- kau enggan

melangkahlah, engkau
ratapan hanya merantai
sampai bila?

sisi sepi paling dalam

"engkau!"
sekilas bisikan aku mendengar
dari sisi sepi yang paling dalam

lalu,
kubawakan ia
ke puncak rasa lemah ini
menadahkan pasrah pada qadarnya
mendongak harap agar dibiasakan
dengan sekilas bisikan itu

sisi sepi paling dalam
sesekali berbisik
terkadang memekik
selalu kuendahkan
membawa aku kembali kepada dia-
sisi sepiku yang paling dalam

Monday, March 26, 2012

mana dia kasih

kalimah mana aku lafazkan
sayu mana aku tangiskan
suara mana aku lontarkan
rayu mana aku rintihkan?

rindu mana aku mimpikan
sayang mana aku curahkan
kasih mana aku dakapkan
cinta mana aku tagihkan?!

alam luas, aku sendiri
longlai kakiku melangkah
tangisku tak berair mata
senduku tak bersuara

sunyilah aku di sepi ini

Saturday, March 17, 2012

secebis untuk dia

secebis rindu di dalam hati
walaupun pahit ia dinanti
kerana apa, entah di sini
lemah akal mencari-cari
sedikit indah ia memberi

katakan hai rindu kepada dia
di sini aku selalu terseksa
oleh dirimu yang memaksa
engkau yang tidak menurut kata
walau berkali-kali aku meminta

tanyakan juga, wahai rindu
apakah dia seperti aku
yang selalu memarahimu
walaupun sebenarnya dia pun tahu
dia sedikit suka padamu

ingatkan sebaiknya pesanan yang kau bawa
katakan dengan jelas kepada dia
bahawa engkau, rindu, milik dia
kerana hanya itu yang aku ada
selama nafas ini masih bersisa

Tuesday, March 13, 2012

hei orang yang ada!

hei orang yang ada
berilah sedikit kepadaku
apa yang tuhan kurniakan kepadamu

lihatlah aku yang sedih
kerana nasib enggan
jadikan aku temannya

hei orang yang ada
bukankah kau lebih segala-gala
jadi impian setiap manusia
yang laparkan dunia

berilah aku barang secebis
sisa roti untuk anjingmu
juga air basuhan tanganmu
aku hina, jadi tiada dosanya
selayaknya itu untukku

hei orang yang ada
pandanglah aku
tidak jatuh kehormatanmu!

hei orang yang ada!
berhentilah seketika
untuk kau ambil daripadaku
rasa syukur kepada tuhanmu!

hei orang yang ada!!

Friday, March 9, 2012

sebelum aku pergi

sebelum aku menutup mata
renunglah aku untuk seketika

sebelum aku pergi untuk selamanya
ucapkanlah bahawa aku yang engkau cinta

sebelum nafas ini tiada sisa
kasihilah aku dengan rela

sebelum tangan terkulai layu
dakaplah aku dengan hatimu

sebelum hilang segala bicara
dengarlah sayang barang seketika

sebelum engkau pergi berlalu
ketahuilah aku sentiasa mengasihimu

Sunday, March 4, 2012

macam awak

sudah ku katakan
aku ini hina dina
aku ini baik buruknya

tuturku tidak sesopan dia
aku tidak mulia

ada yang lebih gaya
di mata manusia serba sempurna
pergilah kau kepada dia

tapi.. kau degil

"macam awak!"
tak mahu macam-macam

"macam awak!"
sebab awak faham saya

"macam awak!"
yang selalu faham soalan saya

macam awak juga,
sebab kita sama-sama ada rasa

Saturday, March 3, 2012

jumpa lagi

sudahkah kau siapkan bekalanmu?
masanya hampir tiba
sudah sediakah?

jauh lagi perjalananmu
banyak daerah akan kau lewati
banyak jalan akan kau redah
banyak simpang akan kau hadap

maaf, aku tidak dapat menemanimu
sampai di sini saja aku mampu
takat ini saja mampu ku seru

bukanlah aku takut
bukan juga aku tak mahu
ah. kau sendiri tahu betapa ingin benar
aku menemanimu, tapi
jalan kita tidak sehala

pun begitu
jangan sesekali kau ragu
bahawa aku akan sentiasa bersamamu
saat bila pun
dalam titis air matamu ada aku
dalam tawamu juga
bayangmu adalah aku
setiap langkahmu
setiap nafasmu
ada aku

selamat jalan aku ucapkan
semoga selamat sampai tujuanmu
bila kau tiba, pandanglah satu persatu
mungkin ada aku di situ

Friday, March 2, 2012

senafas ini

senafas hidup sekilas pandang
banyak terjadi ramai mendatang
seribu aral sejuta rintang
satu dibuat banyak ditentang

baik pun jahat semua nyata
asal hati sejelas mata
ramai melihat dengan buta
sedikit nampak dalam gelita

jadi katanya dilewat aku
akal nafsu beradu memandu
selalu tewas sekalipun tahu
kerana ingat tidak selalu

sebanyak mana hujan yang turun
sekering mana panasnya gurun
sepanas mana mentari membakar
sepedih mana duri mencalar

wahai kasih yang aku hendak
tangan ku hulur mencapai tidak
hanya wajah tidak berupa
di alam mimpi aku terjaga

selautan mana sayang dicurah
tidak kan penuh tidak kan cecah
walau dilarang walau ditegah
mengalir laju melimpah ruah

kepada cahaya kaki menapak
setiap detik masa berlalu
titis menitis di atas telapak
mengharap penuh selautan biru

akhir kalam habislah nafas
dari jasad terlepas bebas
menanti saat penentu diri
ditunjuk dia yang kekal abadi

Thursday, March 1, 2012

gila

mengejar hakikat yang tiada
bukankah gila?
mengimpikan sesuatu yang tiada
gila juga?

semua gila

engkau, aku, kita semua

tapi...

dari mana asal gila?
siapa yang memberi, siapa yang bagi?

menyusuri akal waras atas jalan benar
meniti titian erti dan maksud
mencari tahu faham sedar ingat!

itu semua dari mana?