About Me

Thursday, April 26, 2012

bayang cahaya

di dalam ruang kecil ini
hanya aku dan bayang-bayangmu
dengan samar cahaya di tingkap
yang kecil juga

diam

hanya hela nafas yang terasa
engkau di depan mata
namun, kita tak mampu berbicara
cuma gerak tarimu
menjadi tanda langkah gerakku

engkau adalah aku
dan aku adalah dirimu

hari semakin senja
wujudmu semakin sirna
cahaya di tingkap kecil
tidak lagi mampu menyatukan kita

namun
aku yakin bila ada cahaya
kita akan bersama jua

Tuesday, April 24, 2012

tanpa apa-apa

tanpa susun patah kata
cinta tetap cinta

tanpa halus bisik suara
cinta tetap cinta

tanpa hadir sua muka
cinta tetap cinta

tanpa belai kasih mesra
cinta tetap cinta

cinta tetap cinta
tanpa apa-apa

Friday, April 13, 2012

bulan masih menangis

di kala bulan menangis
kerana kasihnya membisu
bertanya ia pada sang angin
kiranya ada khabar dari kekasih?

bintang pun tidak tahu
andai kekasih masih di situ
katanya - maaf, bulan yang rindu,
aku jauh beribu batu

sang bulan semakin sayu
rawan hatinya memakan diri
semakin kelam tidak berseri
gerhanalah ia di dalam sepi

lalu

di balik awan bulan membisu
tangis sayunya masih bersisa
pedih hatinya menahan sengsara
wahai kekasih bisikkanlah khabarmu
agar bulan kembali bercahaya

tapi

bulan masih menangis..

Thursday, March 29, 2012

satu-empat-tiga

pada satu empat tiga
teringat aku saat itu
senyum tangis berbaur sendiri

pada satu empat tiga
banyak kisah dikisahkan
banyak rasa dirasakan

pada satu empat tiga
pada engkau ada aku
dalam diriku ada kamu

pada satu empat tiga
nanti itu indah
tapi itu indah
sepi itu indah
kerana ada kamu di setiap itu

satu dalam empat tiga
engkau tahu itu
selalu kamu perihalkan
kerap aku bayangkan

tiga dalam empat satu
sejak mula aku angankan
hingga kini masih di bayangan

kini
yang pasti semua lalu
yang nyata ada aku
yang samar pada kamu
dalam mimpi menjadi satu

yang dibawa-
antara satu dengan tiga

gurindam satu pagi

apa diturut katanya hati
bila nafsu jadi menteri

apa diturut jiwa yang marah
hasilnya sesal tak kunjung sudah

apa diikut guru yang jahil
ilmu yang dapat semua batil

apa diikut jalan yang salah
ke jurang dalam diri kan rebah

apa dilihat kayanya orang
harta sendiri tidak dibilang

apa dilihat kudis di jari
orang di sana tiada kaki

apa dikejar akan dunia
datang janji habis binasa

apa dikejar nikmat dunia
sedangkan syurga tiada akhirnya

apa dipandang barang dicipta
sedangkan pencipta di depan mata!

Tuesday, March 27, 2012

taubat sambal

sengsara kerana dosamu menggunung
menyesal kerana terbiasa dengan dosa itu
tapi,
masih juga kau lakukan!
dalam sesalmu, kau ingkar!

kemudian kau sedar
sedar dalam sedar sebenarnya?
lalu kau ulangi lagi
begitulah kau ulang-berulang

sekarang kau laungkan lagi
cemik wajahmu meluahkan
betapa kau tak mahu,
tapi lemah- jadi alasanmu

kau hanya tahu mengaku
tapi buat- kau enggan

melangkahlah, engkau
ratapan hanya merantai
sampai bila?

sisi sepi paling dalam

"engkau!"
sekilas bisikan aku mendengar
dari sisi sepi yang paling dalam

lalu,
kubawakan ia
ke puncak rasa lemah ini
menadahkan pasrah pada qadarnya
mendongak harap agar dibiasakan
dengan sekilas bisikan itu

sisi sepi paling dalam
sesekali berbisik
terkadang memekik
selalu kuendahkan
membawa aku kembali kepada dia-
sisi sepiku yang paling dalam