About Me

Wednesday, January 25, 2012

air

jatuhmu dari awan yang tinggi
gugur ke bumi
kau mengalir
dari puncak gunung suci

lalu kau turun ke lembah
kau penuhi setiap ruang yang kau redah
tidak kau kira ke mana arah
kotor hitam pun kau tak endah
ke sungai parit longkang dan kumbah

dalam perjalananmu kau membawa segala
sampah najis lumpur kelodak
keruh warnamu
bangkai isimu
kau kotor amat

matahari memancar

kau, dengan rela membiarkan
asalmu yang suci diangkat
kerana kau tahu, masa sudah sampai
untuk kau kembali ke tempat asal

kau tinggalkan semuanya
lumpur selut yang bersatu denganmu
hanyir pekat longkang yang dulu tempatmu
kau suci semula

kau akan jatuh semula, itu pasti
pilihlah lautan
kerana di situ kau tetap suci selamanya

aku ini tiada apa

ya tuhan
aku ini manusia berdosa
bukan sekali dua
bukan sezarah cuma

ya allah
sedang engkau maha segala
ada engkau tidak berada
tidak terpisah, tiada bersekutu
fana aku dalam wujud mu

ya rahman
aku ini tiada apa
hidupku sekadar menumpang belas
pada rahim mu yang maha luas

ya malik
apa yang ada engkau yang milik
nafasku
nadiku
nyawaku
jiwaku

sesungguhnya aku ini tiada
sembahku padamu, ampunkan dosaku
ku mohon redhamu

Tuesday, January 17, 2012

mati

gelapnya
bila kau humban aku ke sana
mana arahku
tiada cahaya

sesak nafasku
dengan hanyir amarahmu,
bencimu

lama aku di situ
hingga binasa diri ini
ratapku tiada henti
tangisku selautan hati

sudah cukupkah?
kerana aku hampir tak tertahankan lagi
sungguh
kau bunuh aku sebelum aku mati

Saturday, January 14, 2012

maaf

sayang, maafkan aku
bukan hatiku berubah
cuma kasihku tertambah

sayang, kau tetap aku cinta
cuma.. dia datang menyapa
Tak diduga, sungguh.. aku tak menjangka

sayang, sekali lagi maafkan aku
aku tahu walau apa yang ku kata,
aku tetap salah

sayang, demi kasih aku
ku turutkan segala
ku buang semua
ku lontar jauh
sebab
aku sayang

Friday, January 13, 2012

hiba

aduhai
pada siapa
air mata ini hendak dicurah
tangis ini yang tiada henti

demi
jiwa ini yang meratap
dada ini yang kesakitan
pecah dek duka yang bagaikan
tak hilang

wahai
engkau yang memberi lara ini
sembah sujud aku merayu
dalam ratap sendu sayu
ambillah semua ini dariku

Thursday, January 12, 2012

cermin

engkau, diri aku
takkan aku lupakan engkau

kalimatmu cuma permainan lidah
cukup sudah aku tadah
sudahlah
tapi dengan dia yang engkau mahu
engkau kata hanya aku, cuma aku
tapi kau buat hatiku lirih
engkau kata aku yang kau kasih

tidak puaskah dengan jawapanku?
apa yang kau mahu?
engkau datang lagi, menangis

semalam aku bermimpi

engkau datang lagi, menangis
apa yang kau mahu?
tidak puaskah dengan jawapanku?

engkau kata aku yang kau kasih
tapi kau buat hatiku lirih
engkau kata hanya aku, cuma aku
tapi dengan dia yang kau mahu
sudahlah
cukup sudah aku tadah
kalimatmu cuma permainan lidah

takkan aku lupakan engkau
engkau, diri aku

rimba

pagi
hijau dedaun, segar
dingin hawa menyelimuti
hangat mentari menyentuh pipi

unggas, iramanya asyik
sahut menyahut pulang balik

jernih mengalir suci
mengusap batuan seiring waktu
dingin benar

seluruhnya disapa embun
bagai mutiara kelihatannya
cantik

sungguh
tidak engkau jadikan semua ini
dengan sia-sia