About Me

Sunday, November 18, 2012

lelaki dari jauh

aku lelaki dari jauh
seperti tak pernah hampir
sedangkan hati selalu dekat

aku lelaki dari jauh
memandangmu sayup-sayup
mendengarmu di hembusan bayu
memelukmu dalam angan

aku lelaki dari jauh
melangkah mendekat menjauh
berlari menyongsang arah
kepadamu jua aku ingini

aku lelaki dari jauh

hanya dari jauh

Friday, November 2, 2012

sumbang

orang ramai aku sendiri
orang berkata aku menyepi
orang bersenda aku bersedih
orang ketawa aku menangis

langit cerah aku berpayung
hujan menimpa aku biarkan
terang aku bersuluh
mata terpejam aku berjaga
pahit kutelan
manis kubuang

sampai aku mati
aku hidup

Thursday, November 1, 2012

jangan tinggalkan aku

jangan tinggalkan aku
apa yang ada andai engkau pergi
apa aku ini andai engkau tak peduli

hancur jasad derita jiwa
tak tertanggung seksa
terlontar jauh hujung derita
tiada selamat selama-lama

jangan tinggalkan aku
segalanya tak bererti tanpamu
hampa tak bermakna
gelap tak bercahaya

andai engkau pergi
celakalah aku di seluruh alam ini

Monday, October 29, 2012

rawan

berserakan keping-keping resah
melayang dihembus angin rindu
dengan kilauan keemasan
jatuh jauh di hujung alam

berdirilah aku
menanti sesaat itu
tegak kaku
berlarian dalam hati
berjalan dalam diri

mendung hadir menaungi
membawa tangisan
sarat ingatan
menghambur titis-titis hujan
menghapus debu-debu kealpaan
dan wajahmu kembali bersinar
memanggilku

Friday, October 12, 2012

kasihku untukmu

sekilas wajahmu menjelma
di antara bintang berjuta
berselindung samarnya purnama
ditabir awan kelam diamnya

sayup terdengar bisikanmu
dialun bayu dingin membelai
melafaz rindu merayu syahdu
sejernih embun sebening kasihmu

segenap alam aku rasakan
seluruh malam menemaniku
mengisi ruang mimpi-mimpiku
memenuhi kamar kasih jiwaku

aku amat mencintaimu

Sunday, October 7, 2012

luka

sakit yang aku rasa
menyiat-robek hati
pedih menikam naluri
bersama renangi laut kasih
tenggelam hanya aku sendiri

terdiam di dasar pilu
bisu kaku tak berdaya
lemah aku oleh luka
yang kau hiris dengan duri kata
kau bakar hangus dengan api sengsara

kau tinggal pergi
biar aku menepi
merawat luka sendiri
tangisku tak bernada
rintihanku tanpa kata

mungkin engkau lupa
irama indah cahaya cinta
kerana masa merubah segala
kerana kita manusia
selalu alpa lalai lupa

biarkan aku menepi
kerana aku hanya debu
yang kau pijak di telapak kakimu

Thursday, October 4, 2012

sumpah

biar berkecai tulang temulang
berundur setapak sekali-kali tidak
biar rebah melaut darah
berkalang tanah aku rela

sumpah keramat aku laungkan
selagi nafas penuh di dada
selagi kudrat mengharung segala
selagi aku masih bernyawa
akan tetap aku pertahankan

demi sumpah ini

demi perjuangan ini

demi engkau!