About Me

Saturday, March 3, 2012

jumpa lagi

sudahkah kau siapkan bekalanmu?
masanya hampir tiba
sudah sediakah?

jauh lagi perjalananmu
banyak daerah akan kau lewati
banyak jalan akan kau redah
banyak simpang akan kau hadap

maaf, aku tidak dapat menemanimu
sampai di sini saja aku mampu
takat ini saja mampu ku seru

bukanlah aku takut
bukan juga aku tak mahu
ah. kau sendiri tahu betapa ingin benar
aku menemanimu, tapi
jalan kita tidak sehala

pun begitu
jangan sesekali kau ragu
bahawa aku akan sentiasa bersamamu
saat bila pun
dalam titis air matamu ada aku
dalam tawamu juga
bayangmu adalah aku
setiap langkahmu
setiap nafasmu
ada aku

selamat jalan aku ucapkan
semoga selamat sampai tujuanmu
bila kau tiba, pandanglah satu persatu
mungkin ada aku di situ

Friday, March 2, 2012

senafas ini

senafas hidup sekilas pandang
banyak terjadi ramai mendatang
seribu aral sejuta rintang
satu dibuat banyak ditentang

baik pun jahat semua nyata
asal hati sejelas mata
ramai melihat dengan buta
sedikit nampak dalam gelita

jadi katanya dilewat aku
akal nafsu beradu memandu
selalu tewas sekalipun tahu
kerana ingat tidak selalu

sebanyak mana hujan yang turun
sekering mana panasnya gurun
sepanas mana mentari membakar
sepedih mana duri mencalar

wahai kasih yang aku hendak
tangan ku hulur mencapai tidak
hanya wajah tidak berupa
di alam mimpi aku terjaga

selautan mana sayang dicurah
tidak kan penuh tidak kan cecah
walau dilarang walau ditegah
mengalir laju melimpah ruah

kepada cahaya kaki menapak
setiap detik masa berlalu
titis menitis di atas telapak
mengharap penuh selautan biru

akhir kalam habislah nafas
dari jasad terlepas bebas
menanti saat penentu diri
ditunjuk dia yang kekal abadi

Thursday, March 1, 2012

gila

mengejar hakikat yang tiada
bukankah gila?
mengimpikan sesuatu yang tiada
gila juga?

semua gila

engkau, aku, kita semua

tapi...

dari mana asal gila?
siapa yang memberi, siapa yang bagi?

menyusuri akal waras atas jalan benar
meniti titian erti dan maksud
mencari tahu faham sedar ingat!

itu semua dari mana?

Wednesday, February 29, 2012

mengantuk 2

di antara lena dan jaga
di luar sedar ingat diri
wajahmu jua ku lihat

rapik hati ini
meracau sendiri
berkecamuk susun patah kata
tenggelam di dalam tasik hampa

aku tak ingin lagi
hilang diri ini lewat hari-hari
bersama rupa tak berwajah
jauh tak berjarak

pergilah
aku masih lagi tak mahu

Friday, February 24, 2012

kain putih

tidurlah hai anak
mimpi yang indah-indah
tenanglah, jangan menangis

pejamkan matamu
ayah ada di sisi
menemani tidurmu

tidurlah hai sayang
malam ini malam damai
irama syahdu ayah dendangkan
zikir hamba pada tuhan

suci wajahmu ayah tatap
putih murni tiada dosa
warna indah ayah sedia
agar indah bila dewasa

tidurlah hai anak
ayah masih di sisi..

Wednesday, February 22, 2012

kasih

dibaluti sepi ini
malam yang hening
dimanakah dikau
wahai yang aku damba

hati ini merintih
mata ini menangis
mengharap sezarah cinta
menanti sang kekasih
jauhnya tak terjangkau
dekatnya tak terlihat

kekasih
lama sudah rindu ini
tidak tertahankan lagi
hadirkanlah rasa itu
agar aku bahagia selamanya

Wednesday, February 8, 2012

antara dua

sesungguhnya

aku ini manusia yang terlalu biasa, yang ingin menambah keluarbiasaan di dalam putaran kehidupan sehari-hari. sepanjang menghirup nafas yang allah izinkan aku ambil semahunya ini, tanpa sesen pun dibayar, entah sudah berapa banyak aku telah bersyukur?

nafsu

yang melingkari anggota badan aku, dari hujung rambut ke hujung kaki ini, yang juga dipinjamkan allah kepadaku, termasuk hati ini, sentiasa menyala kalau tidak pun ia reda, tetap ada baranya. agaknya walau selautan nikmat aku teguk, takkan puas nafsu ini kerana nafsu tak pernah puas.

agaknya juga, kalaulah hidup ini diibaratkan sebagai sebuah neraca timbangan, yang pada sebelahnya tempat untuk sifat-sifat insani, manakala satu bahagian lagi nafsu-nafsu binatang jalang, berat ke manakah hidup aku ini?

dan sesungguhnya juga, keluarbiasaan itulah yang menjadi asbab ke mana aku sedang dan akan berada.

wahai hati, tetaplah kamu pada jalan yang tersedia, yang ditunjukkan oleh junjunganmu.