About Me

Tuesday, March 3, 2020

hakikat

pada keadaan hanya dia
tiada wujud selain dia
tiada pun tiada

maka, jadilah
dari sezarah dia
segala-galanya
seisi semesta
yang nyata dan tersembunyi

seluasnya alam
hanyalah umpama
setitis air di lautan tak bertepi
berbanding dia

sedarilah
kau, aku, kita, dari dia
tapi kau, aku, kita bukan dia
umpama mentari dan cahaya
tak terpisah tiada bersekutu
tak terpecah, tetap bersatu

Thursday, January 23, 2020

mak

mak
aku rindu
leteranmu sehari-hari
lewat senja
"cepat mandi, sembahyang"
"gosok gigi, jangan mandi kupang"

mak
aku rindu
sarapan pagi yang kau buat untukku
yang kau bekalkan untuk rehatku
gembiranya aku ketika itu

mak
aku rindu
kau marahkan aku
berkubang di dalam lopak
seharian menyelam sungai

mak
aku rindu
kau memujukku
"makanlah.. sini mak suap"
"jangan merajuk, mak lambat siapkan"

mak
aku rindu
aku sangat rindu

mak...

Sunday, January 19, 2020

bayang-bayang

umpama bayang-bayang
mengekori hari-hari yang berlalu
hadir dalam terang
hilang dalam kelam

selagi jasad masih bernyawa
selagi mentari masih bercahaya
kau... ada


Tuesday, July 25, 2017

satu hari lagi

untuk satu hari lagi
aku harungi semalam
dengan kemanisan kenangan
sepi menyelubungi hari

cuma satu hari lagi
aku impikan esok 'kan pergi
meninggalkan segala harapan
untuk aku harungi semula

bila berlalu satu hari lagi
barulah aku sedari
bahawa hidup ini hanyalah mimpi
yang akan aku terjaga bila aku mati



Sunday, April 2, 2017

tali

aku berpegang pada tali yang utuh
namun, jari-jemari ini semakin lemah
genggaman ini semakin hilang kekuatannya

maka, jatuhlah aku lagi
jauh, ke lubuk hitam gelap yang aku benci
tertiarap jasad yang hina ini
air mataku mengalir di pipi yang berdebu
di dasar yang jijik ini

aku tidak mahu berlama-lama di sini
tali yang utuh itu selalu ada
menunggu aku untuk mencapainya
lalu, dengan sisa tenaga yang masih ada
tali itu ku genggam semula
membawa aku ke atas semula

kali ini aku berjanji
tali itu tak akan ku lepaskan lagi.

Saturday, January 21, 2017

tunggu

arus masa mengalir lesu
menunggu

angin waktu berhembus pilu
sayu

benteng kesabaran terhakis
menipis dengan masa

sampai akhirnya
hijab terbuka

Saturday, January 14, 2017

Rasa

rindu tenggelam
dicemari nafsu
wangian kasih Mu
tak dapat ku hidu

mungkinkah aku
terus menunggu
atau harus
aku bagun melangkah

dalam gelap menggapai cahaya
di penghujung sisa nyawa
masihkah ada harapan
untuk aku meraih rasa